MALAYSIA
Op Karen: Operasi mega SPRM gempur Sabah, Sarawak

Azam menunjukkan rampasan yang dilaksanakan SPRM menerusi Op Karen. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Operasi mega Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah dan Sarawak dari 2 hingga 8 September membongkar sindiket rasuah penyeludupan serta pengubahan wang haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.
Ringkasan AI
- SPRM bongkar sindiket rasuah dan pengubahan wang haram melalui Op Karen di Sabah dan Sarawak, menyebabkan kerugian hasil kerajaan RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.
- Aset bernilai RM110 juta dibekukan termasuk 498 akaun bank, lima kapal, 4.5 juta liter diesel, kereta mewah, jongkong emas, jam tangan mewah, tanah, dan mata wang kripto; enam individu termasuk dua bergelar Datuk ditahan.
- Operasi melibatkan empat fasa (Op Karen 1.0 hingga 3.0) menyasarkan kartel pembekalan diesel, penyeludupan bahan api, rasuah kontrak pembinaan, dan perkhidmatan kepada MLNG, dengan kerjasama pelbagai agensi seperti LHDN, BNM, KPDN, ATM dan ACTS.
“Seramai enam individu termasuk dua bergelar Datuk terdiri daripada empat pengarah syarikat serta dua pengurus syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.

ACTS antara elemen yang digerakkan SPRM bagi memantau keselamatan di lokasi serbuan di Sibu membabitkan sindiket penyelewengan diesel. - Foto Sinar Harian
Beliau berkata, Op Karen 1.0 yang dijalankan di Sibu, Kuching dan Bintulu telah menumpaskan kegiatan sebuah syarikat yang memonopoli pembekalan diesel komersial kepada sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Sarawak dengan membayar rasuah kepada pihak tertentu.
Katanya lagi, seramai lima individu ditahan membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat serta seorang pengurus wilayah.
“SPRM telah merekodkan keterangan daripada 18 individu dan 15 lagi saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” ujarnya.
Tambah Azam, pihaknya telah membekukan kira-kira RM34 juta yang terdiri daripada 170 akaun bank persendirian dan 50 akaun syarikat, selain sitaan lima unit kereta bernilai RM1.7 juta, 24 bidang tanah (RM3 juta), kapal (RM52 juta), minyak diesel (RM9.7 juta), mata wang kripto (RM564,673), serta wang tunai RM28,000.

ACTS antara elemen yang digerakkan SPRM bagi memantau keselamatan di lokasi serbuan di Sibu membabitkan sindiket penyelewengan diesel. - Foto Sinar Harian
Op Karen 1.5 pula menyiasat aktiviti penyeludupan diesel haram di sekitar Beluran dan perairan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Pantai Timur Sabah.
Kata beliau, selain lima keterangan direkodkan, sitaan dilakukan ke atas tujuh kereta bernilai RM2.2 juta dan 16 bidang tanah (RM8.3 juta), selain pembekuan 10 akaun individu (RM1 juta) dan dua akaun syarikat (RM500,000).
Bagi Op Karen 2.0 pada 2 September lalu, siasatan dilakukan terhadap pengarah sebuah syarikat pembinaan serta beberapa syarikat lain yang disyaki merasuah pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri bagi memperoleh kontrak pembinaan ibu pejabat agensi tersebut di Tanjung Lipat, Sabah.
“SPRM telah menahan seorang pengarah syarikat dan lima saksi dirakam keterangan.
“Sitaan membabitkan lima kereta (RM1.7 juta), sembilan unit jam tangan (RM1.2 juta), jongkong emas seberat 500 gram (RM260,500), serta pelbagai wang tunai dalam mata wang asing berjumlah keseluruhan RM128,470.
“Pembekuan pula dilaksanakan ke atas 79 akaun individu berjumlah RM13.6 juta serta 170 akaun syarikat (RM45.8 juta),” ujarnya.
Selain itu, Op Karen 3.0 pada 8 September lalu di Bintulu melibatkan siasatan terhadap syarikat dan pengarah-pengarah syarikat berkaitan pembekalan dan perkhidmatan kepada Malaysia Liquefied Natural Gas (MLNG).
Ujar Azam, sembilan akaun syarikat dan lapan akaun individu berjumlah kira-kira RM15 juta telah dibekukan, selain lima saksi dirakam keterangan.
Jelasnya, selain SPRM, MATF turut melibatkan penglibatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan Jabatan Laut.

Azam (kiri) menunjukkan paparan laporan akhbar Sinar Harian mengenai Op Karen. - Foto Sinar Harian
Operasi SPRM ini melibatkan Bahagian Operasi Khas (BOK) bersama pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS), selain kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), Seksyen 16(a)(A), Seksyen 17(a), Seksyen 17A, Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan kegiatan sebuah syarikat yang menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api ke seluruh negeri Sarawak, dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.
Rangkaian sindiket itu dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri terbabit. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami