NATIONAL
Op Kenari: Polis lumpuhkan dua sindiket dadah di Kedah, Pulau Pinang

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata 13 lelaki dan seorang wanita warga China berusia 30 hingga 50 tahun disyaki terbabit dalam dua sindiket itu ditahan dalam operasi terbabit yang bermula pada 9 April hingga hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah dan membongkar sebuah makmal haram memproses barang larangan itu menerusi Op Kenari 1.0 di Kedah dan Pulau Pinang membabitkan nilai rampasan dadah RM6 juta.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata 13 lelaki dan seorang wanita warga China berusia 30 hingga 50 tahun disyaki terbabit dalam dua sindiket itu ditahan dalam operasi terbabit yang bermula pada 9 April hingga hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 199.8 kilogram (kg), pil erimin 5 (10.21kg), serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (8.6kg), pil atau serbuk ekstasi (2.6kg), ganja (1.43kg), serbuk kimia (43.2kg) serta heroin (12.1kg).
Turut dirampas katanya ialah 110 kartrij cecair rokok elektrik (vape), 67 botol cecair vape, peralatan memproses dadah dan sepucuk pistol berserta 61 butir peluru hidup dengan nilai rampasan dadah lebih RM3.13 juta manakala sitaan harta RM199,520."Tindakan operasi turut dijalankan di empat daerah di Kedah iaitu Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena serta menahan pengedar terdiri daripada 39 lelaki, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita berusia 20 hingga 58 tahun.
"Polis turut merampas 86.52 gram (g) heroin, 695g ketamin, 26.69g syabu dan 5.95g pil atau serbuk yaba dengan nilai rampasan dadah RM40,000 dalam operasi di Kedah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Pulau Pinang juga membuat serbuan di Bukit Mertajam dan menahan seorang lelaki berketurunan Siam berusia 37 tahun dalam operasi terbabit.
Dalam serbuan itu, polis merampas 16.22kg MDMA, 235g ketamin, 831 biji pil ekstasi, 180 biji pil erimin 5, 11.24g ganja dan tujuh kartrij cecair vape membabitkan nilai rampasan dadah RM2.8 juta manakala sitaan harta membabitkan barang kemas bersama wang tunai adalah RM8,500.
Selain itu, beliau berkata pihaknya menahan 56 individu termasuk dua wanita berusia 20 hingga 58 tahun, selain menyita tiga kereta, lapan motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan nilai sitaan harta RM208,000.
Daripada jumlah itu, 50 individu didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, ketamin, morfin dan benzo, manakala semakan rekod lampau mendapati 47 individu mempunyai pelbagai rekod jenayah membabitkan kes dadah, senjata api, bunuh, samun, mendatangkan kecederaan, perjudian, Seksyen 19(A)(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang.
"Kesemuanya kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan rangkaian ahli sindiket yang masih bebas manakala beberapa individu yang dikenal pasti termasuk seorang daripadanya ialah anggota polis, yang akan diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan," katanya.
Razarudin berkata Op Kenari dilaksanakan bertujuan menyelamatkan anak bangsa daripada gejala dadah selain berdasarkan senario semasa berkaitan peningkatan isu penagihan dan pengedaran dadah di Kedah terutamanya di daerah Pendang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami