PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memulakan Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan negara bermula esok, 27 Februari sehingga 10 April 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi khas tahunan sempena musim Ramadan dan Syawal ini diperkukuh bagi mengekang peningkatan risiko jenayah rentas sempadan dalam tempoh tersebut.
Advertisement
"Statistik jelas menunjukkan Kerajaan MADANI tidak berkompromi dengan mana-mana sindiket yang menjadikan laut sebagai 'pintu belakang' negara.
“Bagi memastikan kedaulatan kita terus terpelihara, seramai 800 pegawai dan anggota APMM akan diatur gerak sepanjang tempoh ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Tinjauan Sempena Operasi Khas Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa kekuatan operasi tahun ini turut disokong oleh kesiapsiagaan 275 aset merangkumi kapal, bot peronda dan pesawat udara yang akan melaksanakan pemantauan serta rondaan secara 24 jam.
Menurut beliau, pelaksanaan operasi akan dibahagikan kepada empat fasa strategik iaitu Fasa Persediaan, Fasa Penguatkuasaan Pra-Perayaan, Fasa Penguatkuasaan Semasa Perayaan dan Fasa Pemantauan & Post Exercise Debrief (PXD).
Mengulas mengenai keberkesanan operasi terdahulu bagi tempoh 2020 hingga 2025, beliau mendedahkan sebanyak 344 kes tangkapan telah direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM106.7 juta.
"Dalam tempoh yang sama, kita juga berjaya mematahkan 863 kes cubaan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang melibatkan 3,700 individu.
“Sabah mencatatkan rekod kes tertinggi dengan 90 kes, diikuti Perak (71 kes) dan Johor (52 kes)," tambah beliau.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kepentingan kolaborasi antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti PDRM, Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
"Perkongsian risikan dan pelaksanaan operasi bersepadu adalah keutamaan kami. Kerjasama turut diperluas bersama TLDM, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan, dan Jabatan Laut bagi memastikan impak yang lebih besar dicapai dalam melindungi perairan negara," tegasnya.