MALAYSIA
Op Metal: SPRM rakam keterangan 32 individu

Menurut sumber, pihak SPRM sedang mengenal pasti beberapa individu lain untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan 32 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan besi buruk dan e-sisa susulan serbuan di lima negeri baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Seramai 32 individu telah dirakam keterangan oleh SPRM setakat ini berhubung siasatan sindiket penyeludupan besi buruk dan e-sisa di lima negeri.
- Jumlah sitaan dan pembekuan akaun melebihi RM332 juta, melibatkan aset syarikat dan individu yang disyaki terlibat.
- Serbuan dilakukan di 19 lokasi termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor, membabitkan premis simpanan, pejabat dan kediaman.
"SPRM sebelum ini telah memgambil keterangan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan tersebut namun tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata jumlah sitaan dan pembekuan akaun membabitkan siasatan kes itu setakat ini adalah lebih RM332 juta.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.
Tujuh serbuan telah dilakukan di Selangor, enam di Pulau Pinang, empat di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor membabitkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami