PELABUHAN KLANG: Sebanyak 6,620 unit teks dan bahan berkaitan al-Quran telah disita kerana melanggar peruntukan undang-undang hasil pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu.
Operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan ke atas 1,758 premis, dengan nilai keseluruhan tindakan mencecah RM378,171.92.
Advertisement
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Op Mulia yang digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut beliau, penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua teks dan bahan al-Quran yang berada di pasaran mematuhi standard serta piawaian ditetapkan.
“Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan bertanggungjawab mengambil tindakan sekiranya terdapat naskhah atau mushaf al-Quran yang mempunyai kesilapan atau tidak mematuhi piawaian pihak berkuasa agama.
“Sebarang perubahan, walaupun melibatkan satu baris atau huruf, boleh membawa maksud yang berbeza. Oleh itu, aspek integriti mushaf al-Quran mesti dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Program Pemurnian Al-Quran KDN yang diadakan di perairan berhampiran Pelabuhan Klang, pada Jumaat.
Dalam tempoh yang sama, Saifuddin Nasution memaklumkan, sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan tindakan lanjut, termasuk pendakwaan atau pengenaan kompaun.
Tambah beliau, penguatkuasaan tidak terhad kepada bahan bercetak sahaja, sebaliknya turut meliputi mushaf dalam bentuk digital dan audio, termasuk yang dipasarkan melalui platform e-dagang.
“Semua bentuk bahan ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang terdiri daripada pakar serta ilmuwan Islam yang menilai kandungan secara menyeluruh.
“Malah, mushaf yang mempunyai kod bar turut dipantau bagi memastikan ketepatan serta kelulusan kandungannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa semua usaha penguatkuasaan tersebut dilaksanakan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
“KDN akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan dan kawal selia secara berterusan bagi memastikan kesucian al-Quran sentiasa terpelihara,” katanya.