KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,146 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam Op Patuh Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan beberapa agensi lain di Plaza Tol Batu di sini dan Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang semalam.

Di Plaza Tol Batu, 615 saman dikeluarkan, manakala 2,516 kenderaan diperiksa dalam operasi yang memfokuskan kepada peningkatan tahap pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan bermula 8.30 malam hingga 12.01 tengah malam tadi.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata antara kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak mempunyai lesen memandu (203), tiada cukai jalan atau telah tamat tempoh (107) dan kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (66).

"Nombor pendaftaran fancy merupakan kesalahan yang serius kerana apabila berlaku kemalangan, kita sukar untuk mengesan pemilik kenderaan selain mengganggu siasatan serta mungkin berlaku kesilapan dalam menyalurkan maklumat," katanya pada sidang media selepas hadir ke Op Patuh di sini.

Sementara itu, Lokman berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Nov, menerusi Op Patuh Bersepadu yang dijalankan di seluruh negara, JPJ telah memeriksa sebanyak 128,489 kenderaan.

"Daripada pemeriksaan sepanjang tempoh berkenaan, JPJ mengeluarkan 25,526 saman pelbagai kesalahan dan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang ditetapkan dan ini menunjukkan tahap kepatuhan pengguna jalan raya masih dipertikaikan.

"Antara tiga kesalahan utama ialah tidak mempunyai lesen memandu (6,636), kesalahan teknikal seperti mengubah suai kenderaan (5,052) dan lesen memandu tamat tempoh (4,701)," katanya.

Dalam operasi di Plaza Tol Sungai Ramal pula, JPJ mengeluarkan 531 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu (126), tiada cukai jalan atau telah tamat tempoh (53) dan tidak mempunyai lesen kenderaan barangan (29).

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan yang menyertai Op Patuh itu berkata seorang pemandu bas persiaran yang membawa 40 penumpang dari Serdang ke Kajang dikesan tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Lelaki berumur 22 tahun itu ketika ditemui mengakui hanya memiliki lesen motosikal dan dipercayai memandu bas terbabit bagi menggantikan abangnya pada malam itu dengan kadar bayaran upah kira-kira RM30 bagi satu perjalanan.

"Saya selalu ikut abang bawa bas dan kadang-kadang dia bagi saya pandu kalau bas kosong sewaktu (perjalanan) balik," katanya ketika ditemui media dalam Op Patuh semalam.

Azrin berkata bas persiaran berkenaan disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA