ALOR SETAR: Sejumlah 203 individu ditahan manakala 295 saman dikeluarkan dan 22 buah motosikal disita sepanjang Op Samseng Jalanan yang dilakukan sepasukan pegawa dan anggota Ibu Pejabat Polis daerah Kota Setar awal pagi Jumaat.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu mengesan kumpulan remaja yang menjadikan laluan Kepala Batas - Alor Setar sebagai litar lumba haram.

Kumpulan motosikal yang sedang berlumba itu bagaimanapun tidak menyedari polis telah memasang perangkap dan hasilnya seramai 203 orang bersama motosikal masing-masing ditahan pada jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, selepas pemeriksaan dilakukan sebanyak 295 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan iaitu tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal, cukai jalan mati dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Sebanyak 22 motosikal disita selepas pemiliknya lari meninggalkan motosikal ketika serbuan.

"Kita telah mengeluarkan 295 saman pelbagai kesalahan dan juga kita telah menyita 22 buah motosikal antara kesalahan kesalahan yang di lakukan itu ubah suai motosikal, penunggang-penunggang di bawah umur yang tidak mempunyai lesen memandu.

"Jadi lebih kurang 30 orang penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu ini. Untuk penunggang di bawah umur ini kita memanggil ibu bapa mereka untuk datang membawa balik anak masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi di Balai Polis Kepala Batas, hari ini.

Turut sama, Timbalannya, Superintendan Mohd Asri Shafie dan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Setar, Deputi Superintendan Haji Zul Azizan.

Katanya, kebanyakan mereka yang ditahan datang dari luar daerah iaitu Pokok Sena dan paling jauh dari Kangar, Perlis.

Kesemua mereka yang ditahan berusia 15 hingga 30-an.

Ahmad Shukri mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak mereka dan tidak membiarkan mereka merayau sehingga awal pagi bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.