KOTA BHARU: Dua pelajar sekolah antara 604 individu yang ditahan sepanjang Operasi Tapis Bersepadu yang diadakan bermula 23 November hingga Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua mereka yang berumur dari 16 hingga 60 tahun itu terlibat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

"Bagi dua pelajar yang berusia 16 dan 17 tahun itu mereka ditahan pada Jumaat di sebuah rumah di Jalan Kedai Lalat-Wakaf Tanjong, Kota Bharu pada jam 2.30 petang.

"Semasa pemeriksaan dilakukan kami telah menjumpai satu botol mengandungi cecair disyaki air ketum anggaran berat 500 milimeter yang bernilai RM15," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing kedua-duanya negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, sepanjang Operasi Tapis Bersepadu itu, jumlah pelbagai jenis dadah yang dirampas berjumlah RM348,985.89.

"Ia melibatkan ganja, 74.03 kilogram, pil yaba (6,320 biji), heroin (59.41 gram), syabu (77.3 gram), ketamin (50.62 gram), pil psikotropik (1,007 biji), ubat batuk (13.72 liter), air ketum (157.75 liter) dan daun ketum, 50.7kg.

"Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 83,136 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran," katanya. - Sinar Harian