KUALA LUMPUR: 281 jeti haram dan lokasi aktif yang dijadikan sarang penagihan dadah berjaya digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 18 Mac sehingga 20 April lalu di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh itu menerusi operasi Op Tapis Khas Siri 3, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 3,724 individu.

Jumlah itu membabitkan seramai 3,574 lelaki dan 150 wanita dengan semua yang ditahan berusia 13 hingga 70 tahun.

Polis turut merampas dadah bernilai RM1.01 juta membabitkan 811.38 kilogram (kg) pelbagai jenis, 542.37 liter dadah dalam bentuk cecair selain rampasan paling banyak ialah daun ketum iaitu sebanyak 769.49 kg.

“Kalau kita lihat dari segi kecenderungan, memang ada aktiviti yang tinggi di kawasan nelayan. Jeti-jeti ini kebanyakan kita dapati ada peningkatan di kalangan nelayan yang terlibat dalam mengambil dadah. Sebab itu kali ini Op Tapis 3 ini kita fokuskan kepada jeti-jeti dan perkampungan nelayan,” katanya.

Ayob Khan bercakap pada sidang media Operasi Tapis Khas di Bukit Aman hari ini.

Tambah Ayob Khan, menerusi operasi sama, polis menahan seramai 618 orang tokan dadah dan 174 individu dikehendaki dalam jenayah narkotik.

Antara ditahan dalam operasi ini adalah sembilan penjawat awam yang mana tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selain enam lagi memiliki air ketum.

Selain itu, dua penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan empat pelajar sekolah turut ditahan kerana memiliki dan positif dadah jenis tetra hydrocannibol.

“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana yang terlibat, sama ada daripada agensi penguatkuasa atau lain-lain jabatan kerajaan mahupun individu terlibat. Yang pasti kita akan tangkap.

“Paling muda 13 tahun, ada tujuh orang yang kita tangkap. Itu bukan pelajar, yang pelajar adalah empat pelajar yang berumur 14 hingga 18 tahun. Tetapi yang paling muda kita tangkap dalam operasi ini ada tujuh orang. Yang berusia 13 tahun ini bukan pelajar. Mereka sudah berhenti sekolah,” katanya lagi.