APAKAH produk seterusnya daripada OpenAI selepas kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengalahkan manusia dalam DoTA, meramal hujan, menjana imej dan ChatGPT?

Jawapannya ialah sebuah 'enjin carian' - menurut maklumat yang tertiris beberapa bulan lalu. Tetapi kini muncul laporan yang dibangunkan bukan enjin carian sebaliknya ChatGPT yang boleh melakukan carian internet dengan tepat.

Apabila soalan ditanya oleh pengguna, versi ChatGPT ini boleh melakukan carian web dan kemudian memberikan jawapan lengkap dengan sumber lengkap serta gambar apabila diperlukan.

Kemampuan melakukan carian web sudah boleh dilakukan oleh ChatGPT tetapi pada iterasi sekarang, ia kerap memberikan jawapan dan sumber maklumat yang kedua-duanya tidak tepat.

Jika ciri yang tertiris ini benar, ia membolehkan ChatGPT memberikan jawapan yang terkini dan tidak terhad sehingga bila data ia dilatih.

Bagi Google pula ini boleh dilihat pesaing yang menyebabkan Google Search akhirnya mempunyai pesaing yang hebat. Search sudahpun menawarkan ciri Search Generative Experience (SGE) yang memberikan keputusan carian dalam bentuk ringkasan sejak tahun lalu menggunakan AI Gemini.

Kepada pengguna biasa, ciri ini akan menjimatkan masa khususnya bagi mereka yang inginkan jawapan dengan fakta tepat yang telahpun diringkaskan. Google Search ialah enjin carian yang bagus, tetapi kini ramai tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk membaca teks yang panjang. - Amanz