Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan operasi membanteras aktiviti tonto, kereta klon dan pemalsuan lesen ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata walaupun hanya pemalsuan lesen agak serius di Sabah, namun pihaknya akan memperluaskan pencarian dalang di sebalik aktiviti tonto dan kereta klon agar isu itu tidak berleluasa.

"Hasil dari Ops Cantas Khas Tonto itu (di Semenanjung sebelum ini), ada lagi tangkapan yang kita akan buat. Jadi operasi khas tonto ini kita adakan dengan kerjasama polis di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari JPJ ke-70 peringkat negeri Sabah di Ibu Pejabat JPJ Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata pihak JPJ telah menubuhkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) khusus bagi membanteras kegiatan sindiket itu termasuk pemalsuan lesen yang dianggap berleluasa di negeri ini.

Ismail berkata beliau optimis sindiket pemalsuan lesen dan kes kereta klon dapat dibanteras di negeri ini berikutan beberapa inisiatif yang diambil JPJ selepas tertubuhnya pasukan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail berbangga di atas kejayaan semua anggota JPJ sehingga agensi itu menerima pengiktirafan lima bintang daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sempena sambutan Hari JPJ ke-70 agensi itu.

Turut menyertai aktiviti sambutan Hari JPJ ke-70 hari ini ialah Kadet JPJ Sekolah serta warga JPJ sendiri.

Sementara itu, Ismail berkata dalam usaha JPJ mengurangkan indeks kemalangan jalan raya di seluruh negara daripada 2.55 peratus tahun ini kepada 2.0 peratus menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata JPJ telah menubuhkan sukarelawan Skuad Muda 1JPJ bagi membantu mendidik masyarakat dan menyalurkan maklumat kepada JPJ berhubung pelanggaran undang-undang jalan raya.

Tema sambutan hari JPJ tahun ini ialah "Rakyat Didekati JPJ Disenangi" dan Sabah merupakan negeri ke-13 mengadakan sambutan berkenaan. Sambutan JPJ ke-70 akan berakhir di Johor.