Arus deras terus menjadi halangan usaha hari kesepuluh mengapungkan bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang.

Menurut Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau kegagalan itu menyebabkan operasi mengapung ditamatkan pada 4 petang dan ditangguh selama tiga hari bagi mencari kaedah terbaik dan untuk keselamatan petugas.

Bagaimanapun, beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat di permukaan sungai tetap akan diteruskan seperti biasa.

Mengulas mengenai operasi hari ini, Bakar berkata selain petugas sedia ada, ia turut dibantu tiga orang penyelam tempatan yang berasal dari Sekapan Panjang, Belaga.

"Tiga penyelam itu sudah berjaya berada di bot karam di dasar sungai tetapi malangnya, usaha untuk memasang kabel di lubang yang ditebuk minggu lepas tidak boleh diteruskan kerana arus deras,” kata Bakar.

Tambahnya jika mengikut rancangan awal, kabel yang sudah diikat di bot karam akan ditarik menggunakan tali yang diikat pada dua jentolak di tebing sungai.

Bakar turut memberitahu sepanjang tempoh penangguhan operasi, satu mesyuarat bersama jawatankuasa bencana negeri akan diadakan di Kuching pada Jumaat bagi membincangkan masalah yang dihadapi pasukan penyelamat.

Sementara itu, Bakar turut mengesahkan jumlah mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam meningkat kepada 213 orang.

Tegas Bakar pada Rabu..Enam lagi mangsa telah membuat laporan polis di Kapit mengatakan mereka adalah mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

Dengan pertambahan itu, ia menyaksikan dua mangsa iaitu Maurice Ajan, 22, dan Roslin Jati, 34, masih hilang manakala satu mayat, Tujok Lah, sudah dijumpai.