Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot terbalik di Sungai Golok Sabtu lalu diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata sehingga pukul 6 petang semalam, usaha mencari Wan Nurhabib Naufal Wan Azli, 6, masih gagal menemuinya.

"Operasi dihentikan pukul 7 malam tadi dan akan disambung pagi esok (hari ini). Seramai 98 anggota dari pelbagai agensi membantu operasi mencari mangsa termasuk daripada pasukan Polis Marin Thailand," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, mayat kakak Wan Nurhabib Naufal iaitu Wan Nurdina Nadia, 10, telah ditemui di tebing Sungai Golok di Kampung Bakung, Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu lalu itu, Wan Nurdina, Wan Nurhabib Naufal dan ibu mereka Rosmiwati Zakaria, 37, dihanyutkan arus deras selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Golok, Rantau Panjang.

Anak beranak itu adalah antara 15 penumpang bot yang sedang pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.

Mayat Rosmiwati ditemui pada pukul 5.45 petang pada hari yang sama, beberapa jam selepas kejadian pukul 3.30 petang itu.

Bot tersebut terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu.

Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.

Rosmiwati merupakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang.