MALAYSIA
Operasi naikkan bangkai helikopter PDRM dijangka bermula esok

Pasukan penyelam TLDM melakukan kerja-kerja persiapan untuk menyelam sebelum ke lokasi bangkai helikopter berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Operasi menaikkan bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah dijangka bermula seawal 8 pagi esok, susulan mesyuarat penyelarasan tindakan antara agensi yang diadakan hari ini.
Ringkasan AI
- Operasi Naikkan Bangkai Helikopter PDRM Bermula 17 Julai: Pasukan pelbagai agensi termasuk TLDM, BSKU dan JBPM akan melaksanakan operasi menaikkan helikopter AS355N yang terhempas di Sungai Pulai semasa latihan MITSATOM 2025.
- Markas Operasi Bersepadu dan Pemeriksaan Awal: Markas kawalan dibuka berhampiran lokasi kejadian, dengan tinjauan teknikal dan penyelaman awal oleh TLDM untuk menilai keadaan bangkai serta keselamatan operasi.
- Lima Kru Selamat Diselamatkan Polis Marin: Helikopter yang membawa lima anggota PDRM termasuk juruterbang dan pembantu berjaya diselamatkan selepas insiden pada 10 Julai, dua daripadanya dilaporkan cedera parah
Sebuah Markas Operasi Bersepadu turut diwujudkan berdekatan lokasi kejadian, sebagai pusat kawalan utama bagi menyelaras tugasan harian termasuk aspek penyelamatan, keselamatan dan perubatan.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati usai mesyuarat, Muhd Zailani dan Ahmad Lokman turut meninjau lokasi bangkai helikopter dengan menaiki bot, bagi menilai keperluan teknikal serta aspek keselamatan sebelum operasi pengapungan dilaksanakan.
Beberapa anggota pasukan penyelam TLDM turut dijangka melaksanakan penyelaman bagi memeriksa keadaan bangkai helikopter sebagai persediaan awal sebelum operasi pengapungan dijalankan, selain menjalankan pemeriksaan ke atas peralatan menyelam mereka.
Pemerhatian pemberita turut mendapati sebuah ambulans berada di lokasi kejadian dalam keadaan bersiap siaga bagi sebarang tugasan penyelamatan.
Dalam kejadian pada 10.15 pagi Khamis, sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Selain Konstabel R.G Devendran dan Koperal Adeline Liu Yan Siu, turut terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin.
Kesemua kru helikopter berjaya diselamatkan pasukan Polis Marin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami