KUCHING: Waktu operasi premis makanan di Sarawak dilanjutkan sehingga pukul 10 malam berbanding 6 pagi hingga 8 malam sebelum ini.

Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan harian perkembangan COVID-19 Sarawak pada Isnin.

Beberapa penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak turut dilaksanakan berkuat kuasa 29 Jun.

Antaranya aktiviti perkhidmatan sektor ekonomi dan perniagaan melibatkan kedai buku dan alat tulis dibenarkan untuk beroperasi mengikut syarat tempoh operasi yang ditetapkan.

Selain itu, bagi aspek kawalan pergerakan, individu atau berkumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam mulai 12.01 pagi hingga 5 pagi tanpa alasan munasabah.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan lanjutan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 yang turut menyentuh tempoh operasi premis perniagaan bermula dari 6 pagi hingga 10 malam.

Dengan perkembangan itu, Sarawak menerusi JBPN mengikut keputusan yang dibuat Kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan COVID-19 pula, hari ini Sarawak merekodkan 409 kes positif baharu yang mana 57.21 peratus daripadanya direkodkan di Sibu, Kuching, Sarikei, Tebedu dan Mukah.

Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu meningkat kepada 64,233 kes.