CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 214 notis kesalahan di bawah Seksyen 32(b) Akta Makanan 1983 dengan anggaran kompaun bernilai RM54,050 menerusi Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 bertema "Ops Tempat Makan" yang diadakan dua hari sejak Selasa.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli berkata daripada jumlah notis yang dikeluarkan sebanyak 110 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makan, 48 di kawasan kompleks membeli belah dan 20 di kawasan lapangan terbang.

Katanya 29 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan lima notis kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

"Satu notis dikeluarkan atas kesalahan merokok oleh orang belum dewasa dan satu notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa,"katanya kepada media selepas operasi berkenaan di sekitar Cyberjaya di sini semalam.

Katanya sebanyak 16,046 operasi di bawah PPKHT 2004 dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lepas manakala 1,568 operasi dijalankan tahun ini sejak Januari lepas.

Beliau berkata setakat tahun ini lima negeri paling tinggi mencatatkan notis kesalahan merokok di premis makan adalah Selangor iaitu 750 notis, Johor (743), Pulau Pinang (595), Sarawak (586) dan Pahang dengan 519 notis.

-- BERNAMA