KUALA LUMPUR: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana di sini, pada Sabtu, kini diperluaskan kepada tiga kilometer.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata semalam bomba telah mencari sehingga ke sempadan terowong SMART namun, tidak menemukan sebarang petunjuk.

"Pagi ini bomba meneruskan SAR mencari kanak-kanak itu tiga kilometer dari kawasan dia dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

"Bomba berhadapan kesukaran dalam SAR kerana air terlalu deras," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Sabtu lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas dipercayai hanyut dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ampang, di sini.

Mangsa yang lemas dikenali sebagai Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan manakala mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Muhammad Riqullah Mohd Shafie berusia 10 tahun.

Sementara itu, Norazam berkata bomba juga memperluaskan kawasan pencarian kepada dua kilometer, bagi operasi mencari seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pisang, Batu 12, Gombak, di sini, semalam.

"Operasi SAR dimulakan pada 8 pagi tadi disertai 10 anggota bomba," katanya.

Semalam, mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi manakala rakannya terselamat di sungai berkenaan.

-- BERNAMA