MALAYSIA
Ops HRA 2025: 158 bas ekspres tidak layak berada atas jalan

JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang yang gagal mematuhi peraturan, kata Aedy Fadly. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 158 bas ekspres yang tidak selamat dikenakan larangan berada di atas jalan raya dalam tempoh lima hari pertama Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang bermula 24 Mac hingga 8 April ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan tersebut didapati tidak layak berada di jalan raya atas beberapa kesalahan teknikal.
"Kenderaan dikenakan notis ini hanya dibenarkan beroperasi semula selepas komponen yang dikenal pasti bermasalah telah dibaiki oleh pemilik kenderaan,
"Selain kesalahan teknikal, JPJ mengesan kesalahan lain antaranya menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tiada pemandu kedua dan kesalahan lain yang membahayakan keselamatan penumpang."Kalau kesalahan yang berkaitan dengan brek kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan kita tidak akan benarkan bas itu membuat perjalanan kenderaan tersebut mestilah diperbaiki terlebih dahulu oleh syarikat bas tersebut sebelum memulakan perjalanan,” katanya pada sidang media Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aedy memberitahu, dalam tempoh sama, JPJ mengeluarkan 22,552 notis melibatkan pelbagai kesalahan serta menyita 97 kenderaan.
Jelasnya, saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan 77,736 kenderaan yang telah diperiksa.
Beliau berkata kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans masih menjadi kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi HRA dengan 5,860 saman dikeluarkan.
"Kesalahan lain ialah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh sebanyak 4,148 saman, teknikal (motosikal/brek/tayar botak) sebanyak 3,035 saman, lain-lain kesalahan (2,346), kesalahan berkaitan kesalahan utama (1,094) dan kesalahan berkaitan kenderaan barangan (1,011)," katanya.
Beliau menegaskan, JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya,
Menurut Aedy, JPJ turut mengeluarkan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan bersempena Aidilfitri berkuatkuasa selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac untuk sebelum perayaan manakala selepas perayaan pada 5 dan 6 April ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami