SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 23 pendatang asing tanpa izin selepas menggempur dan memeriksa beberapa blok flat kos rendah di Seksyen 8, di sini menerusi Ops Kutip, malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata susulan pemeriksaan keatas 27 pendatang asing dalam operasi yang bermula 9 malam itu, penguat kuasa imigresen telah menahan 15 warga Indonesia, enam Bangladesh dan dua Pakistan, kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah.

Beliau berkata semua pendatang yang berumur dua hingga 60 tahun itu dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Operasi kali ini agak mencabar kerana ada pendatang asing yang menghuni Flat PKNS tidak memberi kerjasama apabila lambat membuka pintu, sekali gus melambatkan proses pemeriksaan oleh 29 anggota dan pegawai yang bertugas, sehingga ada pintu yang terpaksa dipecahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairrul Aminus berkata siasatan mendapati kebanyakan pendatang asing itu menghuni di flat berkenaan dengan menyewa bilik pada kadar RM200 sebulan, atau RM700 hingga RM900 sebulan bagi sewaan sebuah rumah.

Beliau berkata siasatan lanjut juga mendapati semua pendatang berkenaan yang memasuki negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Johor, telah tinggal di sini selama tempoh lebih enam bulan.

-- BERNAMA