Sekumpulan Orang Asli dari Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia telah mengembaralebih 300km dari halaman mereka di Kampung RPS Dala di Perak ke Kuala Lumpur.

Mereka menaiki bot, motosikal dan ahkirnya bas untuk sampai ke Kuala Lumpur hanya untuk mengambil bahagian dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

Salah seorang ahli daripada kumpulan tersebut, Ashrol Agi, berkata mereka seramai 40 orang telah menaiki bas dari Gerik dan sampai ke pusat bandaraya KL pada 8.30 pagi tadi.

“Kami berkumpul di KL Sentral dan menunggu untuk menyertai peserta lain” kata Ashrol, 21.

“Kami memilih Tempok (topi tradisional) kerana ia mewakili identiti kami.”

Rohana Along, 37 bersama anaknya Rosidi Awie yang beumur setahun, berkata beliau tidak tahu bahawa kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan untuk menyertai perhimpunan ini dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai ini (Akta). Saya buta huruf. Walaupun ada berita mengenai ini dalam suratkhabar, saya tidak boleh membaca”, kata Rohana.

“Oleh kerana ia salah di sisi undang-undang untuk membawa anak, jadi saya tidak akan menyertai perhimpunan ini dan akan menunggu untuk rakan-rakan saya pulang”, tambah Rohana.

Sementara itu, ketua kumpulan Tijah Yok Chopil berkata mereka sekumpulan telah menggunakan wang sendiri untuk datang ke Kuala Lumpur.

“Kami tidak berpuas hati dengan beberapa isu berkaitan dengan tanah. Kami telah berdiam diri untuk masa yang lama dan kini kami berharap kerajaan akan mengambil perhatian terhadap aduan kami,” kata Tijah.