KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan (DOF) melarang orang ramai di Melaka memakan dwicangkerang berkuat kuasa serta-merta hingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada pada paras yang dibenarkan serta kupang selamat untuk dimakan.

DOF dalam kenyataan semalam memaklumkan hasil analisis dijalankan makmal Biosekuriti DOF terhadap sampel kupang dan air yang diambil dari Sebatu, Melaka pada Rabu lepas menunjukkan kehadiran alga spesies 'Alexandrium' yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Menurut kenyataan itu larangan tersebut adalah tindakan pencegahan awal yang diambil Pejabat Perikanan Melaka berikutan kes kupang tercemar di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Jabatan akan meneruskan pemantauan selama 20 hari dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan yang ditetapkan.

"DOF pada 2 April lepas juga telah mengeluarkan hebahan larangan sementara kepada pengusaha dan penternak bagi menghentikan serta-merta aktiviti menjual dan mengeluarkan kupang ternakan melalui sistem pancang, rak dan 'p-line' dari perairan Melaka," menurut kenyataan itu.


Orang awam diminta untuk segera melaporkan kepada DOF negeri atau daerah yang berhampiran sekiranya mengesan atau melihat perubahan warna air laut kepada merah, coklat, kuning atau hijau.

-- BERNAMA