GOLONGAN kaya Kelantan tidak perlu lagi gusar untuk menempuh kesesakan jalan raya atau bimbang tiket pesawat komersial sudah habis pada musim perayaan Aidilfitri.

Ini kerana golongan berkemampuan seperti mereka kini memilih untuk balik ke kampung halaman menyambut lebaran dengan menyewa helikopter.

Menurut laporan portal berita Sinar Harian, sekurang-kurangnya 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, 'Balik Raya Elak Jem' di musim perayaan Aidilfitri ini.

Perkhidmatan menyewa helikopter untuk balik kampung merupakan kali pertama diperkenalkan oleh syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group.

BACA: Masih keliru? Ini penjelasan cuti sekolah, cuti Hari Raya Aidilfitri 2019

Menurut pemilik syarikat berkenaan, Hazmi Hanipa, 31, sebelum ini perkhidmatan menyewa helikopter dan jet peribadi sudah diperkenalkan mereka sejak tiga tahun lalu.

Kebiasaannya juga, jelas Hazmi, perkhidmatan berkenaan menjadi pilihan ahli perniagaan.

"Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu," kata beliau seperti dilaporkan portal itu.


Hazmi berkata, penerbangan pertama akan bermula pada 3 Jun ini dan harga sewa penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.

"Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja," kata Hazmi lagi.

Anak jati Kampung Renok Baru, Gua Musang ini tidak pernah menyangka perkhidmatan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam kalangan ahli perniagaan.

"Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang," ujar Hazmi.

Untuk penerbangan enam penumpang, Hazmi berkata, harga sewanya mencecah RM17,000 untuk satu jam.

Dengan menaiki helikopter, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

"Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya," katanya lagi. - SINAR HARIAN