Orang kerdil disaran supaya mengenepikan rasa malu untuk berdaftar di bawah Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.

Pengerusi bagi Zon Utara, Siti Norbaya Romli menegaskan, pelbagai peluang terhidang apabila bernaung di bawah persatuan tersebut.

"Kalau kita tidak keluar, hanya duduk dalam kepompong dan tidak menyertai persatuan, kita akan terlepas banyak peluang," kata Siti di sini, hari ini.

Tambahnya, hanya 400 orang kerdil di utara Semenanjung yang menyertai persatuan manakala lebih 500 yang lain belum berbuat demikian.



Siti Norbaya turut mendedahkan antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca keadaan ini ialah kurang keyakinan diri serta tidak mendapat sokongan daripada keluarga.

Justeru, anggota masyarakat yang mempunyai keluarga orang kerdil diminta mendaftarkan golongan ini bagi mendapatkan pelbagai kemudahan termasuk bantuan yang disediakan kerajaan.

Pendaftaran ini, katanya, penting agar golongan istimewa ini dapat dilatih dengan kemahiran hidup yang diperlukan seterusnya mampu menguruskan diri sendiri.