KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran menyumbangkan bahan audiovisual seperti dokumentari, filem, iklan, animasi video korporat dan sebagainya kepada Arkib Negara Malaysia (ANM) untuk melengkapkan koleksi pelbagai peristiwa bersejarah negara bagi tujuan pemuliharaan dan rujukan generasi akan datang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata mulai tahun hadapan juga kesemua pertubuhan badan bukan kerajaan yang menyumbang koleksi audiovisual mereka akan diiktiraf sebagai "Rakan Perpaduan".

Beliau berkata kandungan maklumat bahan audiovisual adalah pengetahuan yang paling relevan pada masa lampau dan sumber pengetahuan berharga kerana mencerminkan kepelbagaian bangsa dan sosiobudaya dalam masyarakat.

"Saya berharap warisan audiovisual menjadi wadah yang dapat memberi impak kepada masyarakat dan generasi muda dalam menerapkan nilai-nilai murni seperti toleransi, hormat menghormati selaras dengan hasrat kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Sambutan Hari Warisan Audiovisual Sedunia 2023 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah ANM, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Sambutan yang bertemakan "Anda Jendela kepada Dunia" itu diadakan bertujuan untuk menyebar luas kepentingan audiovisual dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaannya.

Dalam pada itu, Aaron berkata ANM perlu memberi tumpuan terhadap pengukuhan infrastruktur pendigitalan bahan audiovisual supaya ia dapat diguna dan diakses sepanjang zaman.

Menurutnya ia selaras dengan sasaran ANM iaitu 50 peratus bahan arkib (sumber maklumat) boleh dicapai oleh masyarakat menjelang tahun 2025.

"Migrasi kepada pendigitalan perlu dipergiatkan bagi mengelakkan keusangan format dan kehilangan kandungan serta maklumat di dalamnya," katanya.

Pada majlis itu, empat pendeposit bahan audiovisual menyerahkan koleksi masing-masing berkaitan dokumentari, filem, animasi, iklan dan video korporat untuk disimpan di ANM.

Mereka terdiri daripada Azharul Azmir Kamarulzaman berkaitan dokumentari Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Melaka, Hassan Mutalib (filem, animasi dan iklan), Radio Televisyen Malaysia (dokumentari khas Tekad Tunku Abdul Rahman: Perpaduan Malaysia) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (video korporat).

-- BERNAMA