KUALA LUMPUR: Kalangan organisasi Malaysia berada di barisan utama dari segi kesediaan menerima guna kecerdasan buatan (AI) generatif untuk menjalankan perniagaan dan operasi masing-masing, kata CyberSecurity Malaysia (CSM).

Ketua Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber CSM Mohd Zabri Adil Talib berkata kesediaan itu juga seiringan dengan inisiatif Malaysia Digital yang bertujuan melonjakkan ekonomi digital negara.

"Setakat ini, Malaysia berada di landasan tepat untuk menerima guna teknologi itu memandangkan kita telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI. Kita juga dalam proses merangka peraturan AI yang difahamkan pada tahap melebihi 50 peratus.

"Malaysia bernasib baik kerana (pendirian) kerajaan yang amat menyokong. Malah, seiring usaha untuk muncul sebagai sebuah negara ekonomi digital, elemen AI dan automasi ini sememangnya penting," katanya kepada Bernama di luar acara Minggu Keselamatan Siber Kaspersky 2024 di sini, hari ini.

Mohd Zabri bagaimanapun berpendapat bahawa Malaysia masih ketinggalan dalam usaha mewujudkan undang-undang untuk mengawal selia keselamatan siber yang dapat mengelak sebarang kemungkinan ancaman melibatkan penggunaan AI.

"Kita perlu mempunyai satu undang-undang pencegahan dengan setiap organisasi infrastruktur maklumat kritikal negara perlu melakukan audit keselamatan dan penilaian aspek kelebihan atau kelemahan sistem sekurang-kurangnya sekali setahun.

"Ini perlu diwajibkan bagi setiap agensi (berisiko) bagi membolehkan kita mengetahui tahap kematangan keselamatan siber organisasi, termasuk vendor yang berurusan dengan agensi," katanya.

Beliau juga menyifatkan kekurangan undang-undang serta peraturan sedemikian menjadi alasan bagi organisasi untuk tidak melaksanakan sebarang audit keselamatan siber ke atas sistem masing-masing yang boleh menyumbang kepada tahap keselamatan siber yang lebih rendah.

"Sebagai pembela keselamatan siber atau agensi penguatkuasaan, kita perlu mempunyai kecekapan sepertimana pelaku ancaman dalam mengguna pakai AI generatif untuk membantu dalam membuat keputusan tepat bagi menangani ancaman," katanya.

AI generatif merujuk kepada penggunaan AI bagi mewujudkan kandungan baharu seperti teks, imej, muzik, audio dan video yang dikuasakan oleh model asas (model AI skala besar) dan berupaya melaksanakan pelbagai tugasan.

-- BERNAMA