Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Muda Kebangsaan, Badan Peguam Malaysia, Syahredzan Johan mendakwa wujud kelemahan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan sewajarnya.

Kelemahan itu melibatkan Seksyen 6 dalam akta berkenaan yang memberi kesan kepada hak untuk dilindungi pemberi maklumat terutama penjawat awam.

"Kelemahan tersebut berada dalam Seksyen 6 akta ini yang memperuntukkan dengan syarat pendedahan demikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis.

"Maknanya, maklumat itu dilarang daripada didedahkan daripada undang-undang bertulis, seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), maka sekiranya pendedahan itu dibuat sekalipun kepada pihak berkuasa, perlindungan pemberi maklumat itu tidak boleh diberikan kepada pemberi maklumat tersebut," katanya semasa program Breakfast Talk bertajuk "Pemberi Maklumat Wajib Dilindungi" di bangunan Institut Integriti Malaysia (Integriti) di sini hari ini.

Katanya lagi, apa sahaja dokumen boleh diletakkan di bawah OSA dan ia merumitkan pihak berkuasa terlibat untuk melakukan tindakan susulan.

"Jadi, maknanya kita tahu apa-apa pun boleh dilabelkan dengan OSA. Kalau dalam kerajaan negeri misalnya, Menteri Besar punya kuasa , label sulit diletakkan undang-undang bertulis atau OSA," ujar beliau.

Justeru katanya kelemahan berkenaan didakwa sebagai satu masalah yang besar dan boleh menjadikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak begitu berkesan.

"Contohnya (melibatkan) seorang kakitangan kerajaan negeri Selangor. Dia mendapat maklumat bahawa (seseorang) dalam kerajaan negeri Selangor terlibat dengan penyelewengan, paling atas sekali, dalam minit exco ada .

"Namun dalam minit exco tersebut ada OSA. Jadi, kalau dia hendak bawa (aduan) kepada sesiapa dan dia mahu dilindungi, akhirnya dia tidak boleh dilindungi," katanya.

Selain itu katanya, beliau juga melihat kelemahan akta dari segi defisit keyakinan dalam badan-badan berkuasa yang terlibat.

"Persepsinya adalah orang ramai semakin tidak yakin dan kita kena lihat mengapa mereka lebih rela pergi kepada ahli politik atau media berbanding badan berkuasa. Kita tidak boleh kata mereka nak glamor, mereka beri maklumat dan ahli politik serta media yang keluarkan," tambahnya.