GEORGE TOWN:Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini disyorkan memotong gaji serta elaun Ketua Menteri dan semua exco sebagai langkah penjimatan dalam mendepani pandemik COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, langkah itu juga sebagai alternatif kepada penggunaan Wang Simpanan Terkumpul Negeri bagi membiayai unjuran defisit sebanyak RM403.80 juta dalam Bajet 2021.

Beliau berkata, penggunaan wang Simpanan Terkumpul bagi membiayai bajet defisit merupakan trend yang tidak baik jika pandemik COVID-19 serta cabaran ekonomi berpanjangan sehingga tahun 2021 dan 2022.

"Langkah penjimatan harus dicari bagi membolehkan lebihan perbelanjaan ini ditanggung tetapi penggunaan wang simpanan yang berbaki RM1.07 bilion setakat 2018 itu adalah satu langkah yang tidak sihat," katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung di Dewan Sri Pinang hari ini.

Kerajaan negeri juga disaran mengambil pendekatan berbeza termasuk mendapatkan pinjaman daripada insitusi kewangan atau bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan kewangan negeri kekal stabil dan kukuh dalam mendepani pandemik COVID-19.

"Bagi pembiayaan projek mega seperti tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) misalnya, boleh ditawarkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Pelaburan Hartanah Berhad.

"Usaha ini juga secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pelaburan domestik," katanya.

Afif turut menjelaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menganaktirikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti mana yang didakwa segelintir pihak sebaliknya kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan sejumlah RM2.95 bilion peruntukan untuk negeri itu.

Beliau berkata, peruntukan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti diumumkan kerajaan pusat sebelum ini telah memanfaatkan lebih 600,000 penduduk Pulau Pinang.

"Sebab itu jangan marah jika ada satu atau dua projek besar di negeri ini ditangguhkan kerana apa yang diperlukan rakyat ketika ini ialah bagaimana untuk mencari pendapatan, meneruskan perniagaan dan menghantar anak ke sekolah," katanya.

Persidangan DUN Pulau Pinang bersambung esok. - BERNAMA