Bazar lama Kampar musnah dalam kebakaran

Bazar yang terbakar juga adalah bangunan lama daripada bahan binaan jenis kayu kelas C setingkat serta tidak melibatkan mangsa. - Foto JBPM Perak
IPOH: Sebuah bazar yang menempatkan 54 unit ruang niaga di Jalan Idris, Kampung Masjid, pekan Kampar musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.10 pagi.
"Kesemua unit (niaga) di bazar lama berkenaan musnah dengan pihak kami dimaklumkan hanya 10 unit sahaja yang beroperasi terdiri daripada kedai menjual pakaian, barangan runcit dan makanan.
"Bazar yang terbakar juga adalah bangunan lama daripada bahan binaan jenis kayu kelas C setingkat serta tidak melibatkan mangsa," katanya.
Beliau berkata kerja-kerja pemadaman dijalankan membabitkan empat jentera serta 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, BBP Gopeng dan BBP Tapah.
Shazlean berkata pihak bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran pada 7.46 pagi tadi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


