Pulau Pinang memperkenalkan aktiviti 'plogging' yang menggabungkan aktiviti joging dan memungut sampah sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2018.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata 'plogging' adalah satu kegiatan baharu dari negara Eropah yang memperkenalkan gaya hidup mesra alam kepada orang awam untuk dijadikan sebagai inisiatif baharu terhadap aktiviti kesukarelaan.

"Selain senaman, apa salahnya sepanjang perjalanan itu kita kutip sampah dan membersihkan alam sekitar. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pun sudah mulakan aktiviti ini secara kecil-kecilan.

"Tujuannya untuk meningkatkan kesedaran awam dan membawa mesej kepada masyarakat bahawa usaha menjaga dan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama," katanya kepada pemberita pada program 'Plogging Bersama Ketua Menteri' di Taman Tunku, di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap pada program itu, Chow berkata dalam menyahut cabaran berkaitan isu-isu perubahan iklim global dan peralihan paradigma perkembangan lestari, Agenda Hijau Pulau Pinang sedang membangunkan satu rangka kerja dan pelan tindakan yang koheren.

Beliau berkata Pulau Pinang menyasarkan untuk menjadi negeri paling hijau di negara ini, serta tadbir urus inovatif dan pembangunan agenda yang mampan menjelang 2030.

"Menjelang 2050, Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, penyayang, inklusif, rendah karbon dan berdaya tahan yang menekankan integriti rakyat dan alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA