GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membuat sebarang bayaran kepada Kerajaan Negeri Kedah berhubung tuntutan RM 100 juta bagi ‘pajakan tanah’ negeri itu sebagaimana dituntut Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam masa sama, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan sebarang tuntutan yang di luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada.

Kon Yeow membuat penegasan berikut dalam kenyataan ringkasnya pada Rabu bagi mengulas tuntutan kerajaan Kedah sebanyak RM100 juta setahun daripada Persekutuan berhubung bayaran Pajakan tanah di Pulau Pinang.

Terdahulu, kerajaan Kedah menuntut bayaran RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai royalti pajakan tanah bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai .

BACA: Kedah tuntut RM100 juta setahun bayaran royalti pajakan Pulau Pinang - Menteri Besar

Menurut Muhammad Sanusi, bayaran RM10 juta yang dibuat sebelum ini perlu dikaji semula mengikut nilai semasa dan pihaknya menuntut bayaran semasa RM100 juta  dimasukkan ke dalam  Bajet 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Muhammad Sanusi berkata, bayaran berkenaan adalah untuk pajakan tanah di Pulau Pinang dengan nilai yang bersesuaian dan munasabah berbanding bayaran royalti yang diterima negeri itu sebanyak RM10,000 setahun sejak tahun 1786 serta bayaran khas RM10 juta yang dibuat kerajaan Persekutuan sejak tahun 2018.

Tambahnya, tuntutan bayaran sebanyak RM100 juta itu disifatkan sebagai satu nilai yang kecil bagi pihak kerajaan Persekutuan jika dibandingkan dengan pendapatan yang dijana negeri Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak menyatakan sebarang bentuk tindakan susulan yang akan diambil kerajaan Kedah jika tuntutan itu tidak dilayan kerajaan persekutuan.

Tuntutan kenaikan bayaran pajakan itu dilakukan selepas mengambil kira permintaan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mewartakan tanah untuk penanaman padi seluas 222,0000 hektar, sekali gus hilang potensi cukai tanah komersial atau industri bernilai RM1.7 bilion setahun.