Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil ahli perniagaan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho sebagai saksi untuk prosiding siasatan 1MDB.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keputusan ini dibuat selepas PAC meneliti laporan pelaburan 1MDB melalui laporan awal daripada Jabatan Audit Negara.

"Selepas kita dengar pelaburan yang dibuat 1MDB, termasuk Petrosaudi, hasilnya kita buat keputusan untuk panggil Low Taek Jho atau Jho Low atas kapasiti beliau sebagai Penasihat Khas kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Terengganu Investment Authority yang disahkan dalam laporan Ketua Audit Negara," katanya di sini hari ini.

Selain Jho Low, beberapa eksekutif syarikat terbabit turut akan dipanggil sebagai saksi antaranya Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB Vincent Koh Beng Huat, Penasihat Undang-Undang 1MDB Ivan Cheng, Lembaga Pengarah 1MDB International Holdings Limited Datuk Shahrul Azral Ibrahim Helmi dan Jasme Loo Aiwan dan Pengarah Brazen Sky Azmi Tahir.

Syarikat pengauditan 1MDB yang melibatkan Deloitte, KPMG dan Ernst & Young akan dipanggil semula bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam laporan awal Ketua Audit Negara.

PAC akan mengeluarkan surat panggilan kepada semua saksi minggu depan dan akan memulakan prosiding pada pertengahan September ini.

Bagi surat panggilan Low Taek Jho atau Jho Low, surat panggilan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan (MoF).

Terdahulu, Nur Jazlan berkata pihaknya selesai mendengar pembentangan daripada Ketua Audit Negara dan pasukan khasnya yang menjalankan pengauditan Laporan Awal 1MDB.