Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosidingnya yang tertangguh sebelum ini, pada minggu hadapan, kata pengerusinya Datuk Hasan Arifin.

Namun, Hasan tidak memberi sebarang perincian mengenai apa yang dibincangkan ketika mesyuarat tersebut yang dijangka akan mula pada Isnin.

"Kami sudah ada aturan. Untuk anda semua, perkara akan dimaklumkan kemudian," kata Hasan ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen petang tadi.

Prosiding terakhir PAC adalah berkenaan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

PAC mengalami perubahan ahli selepas pengerusinya dan empat ahli lain yang terdiri dari wakil rakyat Barisan Nasional (BN), meletakkan jawatan selepas dipanggil untuk menganggotai pentadbiran kerajaan susulan rombakan Kabinet pada Julai lepas.

Hasan menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang telah dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet tersebut.

Ahli-ahli Parlimen lain yang dilantik ke dalam PAC adalah Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi).

Mereka dipilih bagi menggantikan Datuk Madius Tangau (BN-Tuaran), Datuk Mas Ermieyati Shamsudin (BN-Masjid Tanah) dan juga Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas).

Sementara itu, Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) dipilih bagi menggantikan tempat Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) dalam PAC.

Chua dipilih menjadi Timbalan Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet pertama pada Jun 2014.

Manakala Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) pula dipilih menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) yang telah meninggalkan PAS bagi menyertai PKR.