KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kebimbangan terhadap pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang terus mengalami kelewatan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendedahkan perkembangan pembinaan LCS mengalami kelewatan 86 hari selepas mendapat laporan perkembangan pembinaan aset itu daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).

"Kebimbangan utama PAC adalah pembinaan kapal LCS terus lewat dan Mindef memaklumkan setakat Disember 2023, projek ini telah lewat sebanyak 86 hari dengan mencapai 67.28 peratus berbanding Jadual Garis Masa Baharu yang ditetapkan Mindef iaitu 68.77 peratus," katanya.

Beliau berkata pada sidang media di Parlimen pada Khamis.


Dalam pada itu, beliau berkata peratus kemajuan pembinaan kapal itu juga tidak mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Kementerian berkenaan.

PAC juga dimaklumkan bahawa isu 'detailed design' masih gagal dimuktamadkan oleh kementerian dengan pihak Naval Group Perancis.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan PAC Parlimen Tindakan Susulan Mindef Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Bagi Tempoh Jun hingga September 2023.

Laporan terbabit, Mas Ermieyati berkata ia mengandungi pemakluman tindakan susulan yang diambil Mindef terhadap syor PAC dalam dua laporan PAC berkaitan LCS.

Pertama yang dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2023 manakala satu lagi dibentangkan pada 14 November 2023.

PAC juga mengadakan prosiding tindakan susulan Mindef pada 24 Januari lalu dan saksi yang hadir adalah Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Isham Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard (BNS), Kapten (B) Ir Azhar Jumaat.