Skip to main content

Dunia

Tiga maut akibat 'airport malaria' berhampiran Lapangan Terbang Frankfurt

41574030126_FrankfurtGermany.jpg
Kes kematian terbaharu membabitkan seorang penduduk di Schwanheim, kawasan berhampiran Lapangan Terbang Frankfurt, menjadikan jumlah kematian akibat kluster berkenaan meningkat kepada tiga orang.
Advertisement

FRANKFURT: Tiga individu disahkan meninggal dunia akibat malaria di Jerman dalam kejadian yang dipercayai berkaitan fenomena jarang berlaku dikenali sebagai airport malaria, iaitu jangkitan yang berlaku apabila nyamuk pembawa parasit dibawa masuk menerusi pesawat atau bagasi penumpang.

Kes kematian terbaharu membabitkan seorang penduduk di Schwanheim, kawasan berhampiran Lapangan Terbang Frankfurt, menjadikan jumlah kematian akibat kluster berkenaan meningkat kepada tiga orang.

Sebelum ini, dua pekerja lapangan terbang dilaporkan meninggal dunia selepas dijangkiti malaria, manakala empat lagi pekerja yang turut dijangkiti telah pulih.

Keseluruhannya, lapan jangkitan direkodkan setakat ini.

Pihak berkuasa kesihatan Frankfurt mengesahkan kesemua mangsa dijangkiti parasit Plasmodium falciparum, iaitu bentuk malaria paling berbahaya yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles.

Penyakit itu tidak merebak secara langsung dari seorang individu kepada individu lain.

Menurut pihak berkuasa, kedua-dua kes terbaharu di Schwanheim tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan endemik malaria dan tidak bekerja di lapangan terbang, sekali gus menguatkan kemungkinan jangkitan berpunca daripada nyamuk yang dibawa masuk melalui penerbangan antarabangsa.

Fenomena 'airport malaria' berlaku apabila nyamuk yang dijangkiti berjaya bertahan dalam pesawat atau bagasi sebelum menggigit individu di kawasan yang lazimnya bebas daripada malaria.

Syarikat pengendali lapangan terbang, Fraport, berkata enam kakitangannya dijangkiti penyakit itu antara 4 hingga 6 Julai lalu.

Pihak lapangan terbang turut memasang perangkap nyamuk dan menjalankan pemantauan berterusan sebagai langkah pencegahan.

Sementara itu, Institut Robert Koch (RKI) bersama pihak berkuasa kesihatan tempatan terus memantau perkembangan kluster berkenaan serta menggesa doktor mempertimbangkan kemungkinan malaria bagi pesakit yang mengalami demam tanpa sebab jelas, khususnya mereka yang tinggal atau bekerja berhampiran lapangan terbang.

Must Watch Video

Advertisement