Skip to main content

Malaysia

PAC buka prosiding siasat isu tadbir urus, pelaburan Tabung Haji

51732005413_MasErmieyatiSamsud.jpg
Mas Ermieyati (foto) berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa berkenaan selepas meneliti kandungan laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu. -Gambar fail
Advertisement

SHAH ALAM: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, pengurusan kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (LTH) susulan penemuan yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung operasi institusi itu antara tahun 2014 hingga 2020.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa berkenaan selepas meneliti kandungan laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Menurut beliau, penemuan dalam laporan tersebut disifatkan serius dan berpotensi menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap institusi berkenaan sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.

“Masih terdapat beberapa persoalan yang terus dibangkitkan selepas laporan RCI didedahkan dan dibahaskan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

“Sehubungan itu, PAC berpandangan ia mempunyai tanggungjawab untuk memulakan prosiding berhubung isu ini selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan prosiding tersebut bukan bertujuan mengulangi siasatan yang telah dilaksanakan oleh RCI, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada status serta kemajuan pelaksanaan syor yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

Katanya, tajuk prosiding, terma rujukan serta senarai saksi yang akan dipanggil masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan dalam mesyuarat khas PAC yang akan diadakan kelak.

Mas Ermieyati berkata PAC mempunyai pengalaman mengendalikan siasatan melibatkan isu berprofil tinggi termasuk prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion serta perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau berkata bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, PAC akan menggunakan beberapa dokumen utama termasuk Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara serta laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) sebagai rujukan.

“PAC komited menjalankan prosiding ini secara telus, adil dan berakauntabiliti bagi memastikan pengurusan wang awam dipertanggungjawabkan serta mengembalikan keyakinan penuh para pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji,” katanya.

Jelasnya, keputusan untuk memulakan prosiding itu dibuat secara sebulat suara oleh ahli PAC yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, mesyuarat tersebut dihadiri semua ahli jawatankuasa kecuali Ahli Parlimen Saratok, dengan sokongan merentasi blok kerajaan dan pembangkang yang mencerminkan kesepakatan dwipartisan terhadap keperluan menyiasat isu berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement