Skip to main content

Malaysia

Padah buat hantaran jelik, warga emas dipenjara empat bulan

SEPANG, 22 April -- Warga emas Mat Derus Ali dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya pada 2024.  Mat Derus, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mat Derus dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya pada 2024. - Foto Bernama

SEPANG: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya, Ogos tahun lepas.

Mat Derus Ali, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Mat Derus didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook "Mat Derus" pada 2.15 pagi, 20 Ogos 2024.

Hantaran bekas kakitangan GiatMARA itu dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari pada 21 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS memandangkan kandungan yang dimuat naik bukan bersifat neutral atau wacana sah, tetapi penghinaan nyata terhadap institusi diraja.

“Kandungan tersebut turut mengandungi elemen provokasi kaum dan agama termasuk naratif yang mengaitkan kaum tertentu yang berpotensi menanam rasa curiga, kebencian dan permusuhan antara komuniti dengan masyarakat majmuk serta mengapi-apikan emosi awam,” katanya.

Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman mengingatkan bahawa perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen sensitif yang tidak seharusnya disentuh oleh mana-mana pihak.

“Perkara 3R jangan buat main-main. Agama contohnya, kalau orang bukan Islam sentuh (mengenai) agama Islam, kamu marah bukan? Sebab itu, undang-undang (Malaysia) mengenakan hukuman berat (terhadap kesalahan 3R),” katanya.

Sementara itu, di mahkamah dan hadapan hakim yang sama, seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik di akaun media sosial miliknya, Disember tahun lepas.

Marzuki Ismail, 52, selaku OKS didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik melampau sifatnya dengan niat menyakiti hati mana-mana orang di Facebook menerusi akaun "Marzuki Ismail", kira-kira 2.30 petang pada 22 Dis 2025.

Hantaran berkenaan dilihat di Menara MCMC1, Cyberjaya pada 3 pagi, 24 Disember tahun sama.

Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili OKS merayu agar tawaran jaminan RM10,000 oleh Fadhli dikurangkan atas alasan fungsi jaminan adalah untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukannya bertujuan menghukum atau membebankan.

Nik Zahrin berkata OKS yang merupakan bekas anggota tentera selama 22 tahun kini menyara tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah dengan duit pencen RM1,400 sebulan, selain menghidap penyakit diabetes yang memerlukan rawatan berkala di hospital.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video