Skip to main content

Malaysia

PADAN mudahkan saringan bantuan, subsidi kepada nelayan - LKIM

KUANTAN, 22 Ogos -- Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berucap ketika hadir pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Bersama Nelayan Kuantan di Pasar Nelayan Pantai Sepat, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Faiz berkata pengintegrasian maklumat menerusi PADAN akan membolehkan pihak berwajib mengakses data nelayan secara lebih mudah dan cepat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

BUKIT GANTANG: Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kini digunakan sebagai pangkalan data induk untuk memperkemas pengurusan bantuan dan subsidi kepada komuniti nelayan di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pengintegrasian maklumat menerusi PADAN akan membolehkan pihak berwajib mengakses data nelayan secara lebih mudah dan cepat, sekali gus mempertingkatkan penyampaian manfaat kebajikan kepada golongan sasar.

“Sebelum ini, pelbagai bentuk bantuan kepada nelayan seperti tabung kebajikan, bantuan bencana, perumahan, subsidi minyak dan elaun sara hidup tidak diselaraskan melalui satu pangkalan data.

“Apabila pangkalan data ini diwujudkan, ia memberikan akses yang lebih mudah selain memastikan bantuan kebajikan kepada nelayan dapat ditingkatkan, di samping membolehkan proses pemutihan dan penyaringan kelayakan penerima dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Rahmah Mesra MADANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi LKIM telah melancarkan PADAN yang bertujuan mengendalikan data berskala besar komuniti nelayan secara berpusat, sistematik dan selamat.

Pembangunan sistem PADAN berteraskan slogan “Satu Pangkalan, Sejuta Manfaat Demi Membina Impian” itu juga berfungsi sebagai sumber rujukan tunggal bagi mengintegrasikan profil nelayan, lesen, bot, peralatan, pendaratan hasil serta rekod bantuan dan subsidi.

Muhammad Faiz ketika mengulas mengenai isu penglibatan pekerja warga asing dalam sektor perikanan berkata pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu perlu ditingkatkan bagi mengekang isu pencerobohan di perairan negara.

Beliau berkata kekurangan aset penguatkuasaan di kawasan laut dalam mendedahkan perairan negara kepada risiko pencerobohan kapal nelayan dari negara jiran.

“Selain menambah aset agensi penguat kuasa, pemilik kapal tempatan juga disaran berani memodenkan kapal mereka supaya perairan negara dapat dipenuhi oleh kapal milik tempatan, sekali gus menyempitkan ruang pencerobohan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata LKIM turut menjalankan pemantauan terhadap penggunaan pekerja asing oleh kru kapal yang berkaitan dengan industri perikanan, termasuk memastikan mereka mempunyai permit yang sah.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM memperluas peluang pendidikan dan kemahiran untuk anak nelayan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang pembaikan bot dan enjin bertujuan melahirkan tenaga kerja muda berdaya saing.

Beliau berkata program yang menggabungkan pembelajaran teori dan amali selama 15 bulan itu digerakkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta institusi kemahiran berkaitan.

“Sektor pembaikan kapal adalah antara komponen penting dalam ekosistem perikanan dan penglibatan anak nelayan secara langsung dalam bidang itu mampu memastikan lebih banyak rantaian industri dikuasai komuniti nelayan sendiri.

“Kami memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi memastikan program ini dapat memberi peluang kepada anak nelayan, khususnya untuk menimba ilmu selain menjadikannya sebagai batu loncatan untuk berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata LKIM terus memperkukuh kebajikan nelayan menerusi bantuan berkaitan bencana alam, kematian serta perumahan bagi membantu meringankan beban komuniti berkenaan apabila sebanyak RM47,400 disalurkan kepada ketua-ketua di tujuh kawasan nelayan di Perak.

Muhammad Faiz berkata sebuah rumah baharu bernilai RM84,000 diserahkan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan di kawasan Matang manakala keseluruhan bantuan perumahan tahun ini membabitkan dua rumah bina baharu dan tiga rumah dibaik pulih.

Menurut Muhammad Faiz, pendekatan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan pembangunan komuniti nelayan bukan hanya tertumpu kepada hasil tangkapan, sebaliknya merangkumi pendidikan, kemahiran, peluang pekerjaan dan kesejahteraan keluarga mereka.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement