PADANG TERAP: Kerajaan akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di daerah Padang Terap yang akan melibatkan kos sebanyak RM15 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, komitmen itu merupakan salah satu usaha membangunkan daerah itu untuk menjadi antara bandar sempadan utama negara.

Tambah beliau, ia juga adalah usaha kerajan bagi melatih penduduk setempat untuk melibatkan diri dalam projek Bandar Getah Kedah (KRC) yang sedang dibangunkan di Padang Terap ketika ini.

"Kita juga akan bangunkan kawasan di sempadan negara, (termasuk) Kompleks ICQS (Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, pembangunan bandar (yang terletak di) sempadan, selain pembangunan infrastruktur.

"Oleh kerana (daerah) Padang Terap berhampiran sempadan (negara Thailand), (iaitu) di Durian Burung, kita (pihak) kerajaan bercadang untuk bangunkan jalan empat lorong daripada Pokok Sena ke Bandar Durian Burung,

"Saya percaya dengan adanya ICQS (yang baharu), selain (projek) naik taraf lain dan jalan empat lorong, Insya-Allah Padang Terap akan lebih maju di mana Kuala Nerang akan jadi pilihan pelancong (dari) Thailand.

"(Selain itu) dengan adanya Kedah Rubber City (KRC) yang akan menjadikan Padang Terap kawasan industri, (turut) akan ada pertambahan pelancong, itulah komitmen kerajaan dalam memastikan Padang Terap menjadi antara daerah termaju di negeri Kedah,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, nilai dagangan membabitkan Malaysia dan Thailand kini telah mencecah angka RM103 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, beliau berkata, sebanyak lebih RM44 bilion disumbangkan daripada aktiviti melibatkan perdagangan di kawasan sempadan negara.

Sehubungan itu, jelasnya, amat penting untuk memastikan, kawasan pekan-pekan kecil dan bandar yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand dibangunkan seiring dengan hasrat meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan luar bandar.