MIRI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak hari ini menyantuni dan membantu penduduk Kampung Long San Telang Usan, Baram, di sini, mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Usaha itu dilakukan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan jalur lebar satelit, MEASAT melalui perkhidmatan CONNECTme NOW.

Sesi ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis, dengan kaunter-kaunter di Dewan Serbaguna  di sini akan dibuka bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, kecuali pada hari terakhir di mana kaunter akan dibuka sehingga jam 1 tengah hari.

Kampung Long San Telang Usan terletak kira-kira 200 kilometer atau kira-kira enam jam perjalanan dari bandar Miri, dengan populasi sekitar 800 orang penduduk.

Kerana kedudukannya yang agak jauh di pedalaman, ia sedikit menyukarkan penduduk untuk mendapatkan akses internet yang stabil bagi mengemas kini maklumat ke dalam PADU.

Timbalan Pengarah DOSM Sarawak, Yusnita Mohd Yusof, berkata: "Kita cuba membantu penduduk di sekitar Long San, merangkumi beberapa termasuk Kampung Long Liam, Long Selatong, Long Tap dan Long Beku, untuk memastikan penduduk dapat mengemas kini data mereka.

"Kita cuba sebaik mungkin membantu penduduk di luar bandar supaya apa saja dasar yang dirancang kerajaan, maklumat itu sudah ada dalam sistem PADU.

"Sambutan hari ini sangat baik, penduduk sudah hadir sebaik kaunter dibuka pada pagi tadi dan saya berharap ini berterusan sehingga ke hari terakhir kami di sini.

"Kita memahami ada kekangan dari segi rangkaian internet di sekitar kawasan ini, kerana itu kita cuba bantu sebaik mungkin dengan kerjasama MEASAT melalui perkhidmatan CONNECTme NOW," katanya.

Untuk rekod, ini merupakan lokasi kedua di mana sesi pendaftaran dijalankan dengan kerjasama antara DOSM dan MEASAT, selepas kali pertama di Kampung Keniogan, Sabah, baru-baru ini.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen DOSM, MEASAT dan CONNECTme NOW bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir mendaftarkan maklumat mereka ke dalam sistem PADU.