KUALA LUMPUR: Rakyat tidak perlu gusar dengan data yang dikumpulkan menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) memandangkan ia dikawal selia oleh beberapa akta sedia ada.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh berkata selain itu, bagi memperkukuhkan perlindungan data peribadi individu, Akta Omnibus yang akan dibentangkan kerajaan juga mampu menghalang daripada ia disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Maka, tidak timbul bahawa data ini akan disalahgunakan, tipu dan sebagainya. Bagi saya ia tidak boleh berlaku dengan mudah sekarang kerana terdapat akta yang mengawal selia. Akta Omnibus yang akan dibentangkan di masa akan datang ini juga akan mengawal privasi data kita.

Itu (Akta Omnibus) juga akan dilaksanakan kerajaan dalam tahun ini dan saya rasa (ia akan dibawa) dalam sidang Parlimen yang akan datang. Maka, akan ada lebih banyak kawalan keselamatan terhadap data-data ini," katanya menjadi tetamu program Malaysia Petang ini yang bertajuk "Transformasi Digital 2024: Menjelang Peluncuran PADU" terbitan Bernama TV pada Isnin.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada November lepas dilaporkan berkata kerajaan akan membentangkan Akta Omnibus di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi sistem PADU.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata selain itu tindakan undang-undang juga boleh dikenakan mengikut akta berkaitan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan data.

Esok, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan PADU, iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

-- BERNAMA