MARAN: Kerajaan negeri Pahang membina lima pusat pemindahan tetap (PPT) dengan kos hampir RM31 juta di lima daerah untuk keselesaan penduduk terjejas banjir, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata buat masa ini, PPT di Kampung Luit di sini telah siap dibina dan menjadi pusat pertama seumpamanya di Malaysia manakala pelaksanaan di daerah Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan pula dijadual selesai dalam tempoh satu hingga dua tahun.

"PPT di Kampung Luit dibina dengan kos RM650,300 dan mampu menampung sehingga 24 keluarga jika banjir berlaku. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat kerana banjir lazim berlaku di Pahang.

"Jika sebelum ini mereka (yang terjejas banjir) dipindahkan ke masjid atau sekolah, tetapi selepas ini mereka boleh ditempatkan di PPT yang selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan. Kita tidak mahu rakyat terus berasa tertekan setiap kali banjir berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PPT Kampung Luit di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Sabariah Saidan.

Menurut Wan Rosdy, pembinaan PPT dibuat dengan penilaian kesesuaian lokasi dan bilangan mereka yang sering terjejas banjir selain dilengkapi kemudahan asas bekalan air bersih dan elektrik, kemudahan membersih diri dan persekitaran selamat untuk dihuni, menjadikan kos setiap satu berbeza mengikut reka bentuk.

Pada perkembangan berkaitan, Wan Rosdy juga mengumumkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang akan menubuhkan Pasukan Ahli Sokongan Pertahanan Awam atau Civil Defence Auxiliary Member (CDA) dengan keanggotaannya melibatkan penjawat awam di pejabat SUK negeri ini.

Pasukan itu dengan sasaran awal keanggotaan sebanyak 30 orang atau satu platun, dijangka dilancarkan tahun depan dan diharap dapat membantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) atau agensi lain dalam aspek kesiapsiagaan situasi kecemasan atau bencana.

Wan Rosdy seterusnya berharap penduduk negeri ini terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa bersedia berpindah jika diarahkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang musim tengkujuh.

-- BERNAMA