SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Pahang terus memperkasakan agenda kebajikan rakyat menerusi penambahbaikan inisiatif bantuan haji, yang kini diperluaskan kepada anak-anak jati negeri itu yang menetap di perantauan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 144 jemaah haji yang juga anak Pahang di perantauan diraikan hari ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri yang tidak meminggirkan rakyat walaupun tidak menetap di dalam negeri.
Advertisement
“Hari ini saya bersama rakan kepimpinan dari Pahang ke Shah Alam untuk meraikan 144 anak Pahang di perantauan yang bakal menunaikan haji. Saya berkesempatan menyampaikan bantuan RM750 seorang selain pek makanan sedia dimakan serta buku doa.
“Ini adalah penambahbaikan yang kami lakukan pada tahun ini. Jika dahulu kami hanya fokus di dalam negeri, kini anak rantau yang akan menunaikan haji juga tidak kami tinggalkan bagi menunjukkan rasa kebersamaan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Program Barakah Haji Pahang Tahun 1447H/2026M di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata komitmen kewangan bagi bantuan haji tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.2 juta yang memberi manfaat kepada 1,712 bakal haji dari seluruh Pahang termasuk kumpulan anak perantau.
Pada masa sama, beliau berkata jumlah bantuan tunai itu meningkat secara berperingkat, bermula RM500 pada 2023 sebelum dinaikkan RM750 seorang sebagai respons kepada keupayaan kewangan negeri yang semakin stabil.
“Sekiranya kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan yang lebih baik pada masa hadapan, insya-Allah kami akan pertimbangkan untuk menambah lagi jumlah bantuan ini kerana rekod prestasi kami menunjukkan peningkatan setiap tahun.
“Kami sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut kemampuan dan kejayaan program hari ini adalah sebahagian daripada rekod prestasi yang kami bina sejak beberapa tahun lepas," katanya.
Wan Rosdy ketika menyentuh aspek keselamatan jemaah di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia berkata pihaknya sentiasa menjalin kerjasama erat dan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Luar bagi memantau keadaan semasa.
Beliau memberikan jaminan segala pergerakan dan pelaksanaan program haji di bawah kelolaan negeri sentiasa mematuhi garis panduan serta nasihat yang dikeluarkan oleh kementerian.
“Kami sentiasa mendapatkan pandangan daripada Kementerian Luar, terutamanya Datuk Seri Mohamad Hasan di samping arahan mereka kerana keselamatan jemaah adalah keutamaan paling tinggi.
“Atas nasihat kementerian jugalah kami meneruskan inisiatif ini dan memastikan jemaah dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi sebelum mereka berangkat ke sana,” katanya.
Program Barakah Haji Pahang adalah sebahagian daripada peruntukan besar berjumlah RM235 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun ini bagi memperkasakan pembangunan syiar Islam dan pendidikan dalam negeri.
Wan Rosdy turut menyifatkan angka itu sebagai hujah untuk menangkis dakwaan pihak tertentu yang kononnya Pahang tidak memberikan penekanan yang cukup terhadap agenda pembangunan Islam.
-- BERNAMA