KUANTAN: Sebanyak 1,003 kes kebakaran terbuka direkodkan di Pahang bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini melibatkan kawasan seluas kira-kira 2,721.88 hektar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata jumlah itu meningkat kira-kira 52 peratus berbanding 658 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas melibatkan kawasan seluas 1,162.83 hektar.
“Daripada jumlah itu, kategori belukar atau lalang merekodkan kejadian tertinggi, iaitu 619 kes, sekali gus menunjukkan kawasan yang mempunyai tumbuhan kering, lalang dan semak samun memerlukan perhatian khusus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan melalui Sistem Maklumat Kebakaran Hutan (ForFIS) bagi tempoh 5 hingga 7 Sept, sejumlah 42 titik panas dikesan di beberapa daerah di Pahang.
Kenyataan itu memaklumkan berdasarkan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara kini berada pada fasa akhir Monsun Barat Daya dan dijangka memasuki fasa peralihan monsun pada Oktober 2026.
“MetMalaysia turut memaklumkan fenomena El Nino sedang berlaku dan diramalkan berterusan hingga April 2027 dengan kebarangkalian 97 peratus, yang berpotensi mempengaruhi keadaan cuaca dan taburan hujan di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Mohd Razam turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengelakkan sebarang aktiviti yang berpotensi mencetuskan kebakaran, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering.
“Saya ingin menegaskan kepada masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama membakar sampah, daun kering, lalang, semak samun atau sisa kebun. Dalam keadaan persekitaran yang kering, api yang kecil boleh merebak dan menjadi kebakaran yang lebih besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kecuaian seperti membuang puntung rokok, meninggalkan bara api serta menggunakan sumber api berhampiran kawasan tumbuhan kering juga boleh mencetuskan kebakaran.
-- BERNAMA