NATIONAL
Pahang rekod 1,958 kes demam denggi pada 2024

Kuantan merekodkan daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 723 kes. - Gambar hiasan
KUANTAN: Kes demam denggi di Pahang meningkat 22 peratus pada 2024 dengan merekodkan sebanyak 1,958 kes berbanding 1,609 kes pada 2023, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Datuk Razali Kassim.
Beliau berkata Kuantan merekodkan daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 723 kes, diikuti Temerloh (404 kes), Pekan (145 kes), Raub (138 kes), Bera (134 kes), Maran (129 kes), Rompin (125 kes), Bentong (83 kes), Lipis (41 kes), Jerantut (27 kes) dan sembilan kes di Cameron Highlands.
"Sebanyak lima kes kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan bagi 2024, berbanding dua kes kematian pada 2023 iaitu peningkatan 150 peratus," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) yang ingin tahu jumlah kes demam denggi direkodkan di seluruh Pahang pada 2024 serta langkah yang diambil untuk mengawal penularan penyakit berkenaan.Dalam pada itu, Razali berkata peningkatan bilangan kes demam denggi pada tahun lepas selari dengan gelombang epidemiologi yang meningkat setiap empat atau lima tahun, selain ia juga berpunca daripada perubahan cuaca dan pertukaran serotaip virus denggi.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata sebanyak 6,579 premis ditemukan tempat pembiakan nyamuk Aedes daripada 680,491 jumlah premis diperiksa.
"Daripada 6,579 premis positif pembiakan Aedes ditemukan, sebanyak 4,036 premis telah dikompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, dengan nilaian kompaun yang ditawarkan sebanyak RM2 juta.
"Sebanyak 1,161 notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama juga telah dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai tempat yang berpotensi untuk pembiakan jentik-jentik Aedes dan kesemuannya telah dijalankan tindakan susulan," katanya.
Selain itu, kerajaan Pahang bersama agensi terlibata melaksanakan pelbagai program bagi mengawal penularan penyakit berkenaan, antaranya 'Program One Hour Clean Up Negeri Pahang', aktiviti gotong-royong dan Op Ketuk-ketuk serta kempen 'Cari dan Musnah 10 Minit Seminggu Sekali'.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang memaklumkan sebanyak 14 aduan diterima berkaitan pelaksanaan perintah gaji minimum dalam tempoh 1 Feb hingga 31 Mac.
"Kesemua aduan ini masih dalam tindakan sama ada membuka kertas siasatan atau pekerja diberi nasihat untuk mengambil tindakan di mahkamah buruh," katanya ketika menjawab pertanyaaan Datuk Jasri Jamaludin (PN-Kuala Sentul) yang ingin tahu bagaimana pelaksanaan gaji minimum dapat membantu rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami