MALAYSIA
Pahang teliti bantuan kewangan kepada penjawat awam persekutuan - MB

Wan Rosdy selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Sedunia 2025 Peringkat Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja pada Selasa. - Foto Facebook/Wan Rosdy
PEKAN: Kerajaan Pahang sedang meneliti pemberian bantuan kewangan kepada penjawat awam kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini sebagai usaha menghargai sumbangan mereka.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata buat masa ini bahagian kewangan sedang mengkaji bilangan penjawat awam yang terlibat dan implikasi kewangan terhadap pemberian itu.
"Kerajaan negeri akan memikirkan dan belum ada keputusan muktamad...nak beri kepada semua belum mampu, kita fikir mungkin mereka yang bergaji RM3,000 atau RM4,000 ke bawah kita boleh beri secara token sama ada RM200 atau RM300 seorang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Sedunia 2025 Peringkat Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja di sini pada Selasa.Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri pernah menyalurkan bantuan khas kepada petugas kesihatan semasa pandemik COVID-19 bagi menghargai perkhidmatan mereka ketika itu.
Beliau berkata walaupun kadar bantuan tidak besar, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri menghargai jasa penjawat awam.
"Hal ini juga bergantung kepada kedudukan kewangan negeri yang ketika ini sudah mencatat kutipan hasil lebih RM850 juta," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pengiktirafan Malaysia Book of Records terhadap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana berjaya menanam 20,000 pokok hutan paya gambut di Hutan Simpan Pekan, yang melakar sejarah sebagai penanaman terbesar seumpamanya di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami