KUANTAN: Kerajaan Pahang setuju mewartakan sebahagian Hutan Simpan Berkelah di Maran dekat sini, sebagai Hutan Taman Negeri Lubuk Yu melibatkan kawasan seluas 14,679.28 hektar, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pewartaan itu menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri keempat Pahang, selepas Cameron Highlands pada 2019 dengan keluasan 2,270 hektar, Rompin pada 2000 melibatkan kawasan 31,797 hektar dan Tasik Chini di Pekan pada tahun lepas dengan keluasan 6,502.80 hektar.

Menurut Wan Rosdy keputusan mewartakan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang yang bersidang pada Rabu lepas.

"Hutan Taman Negeri Lubuk Yu turut diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air dan diletakkan di bawah Perbadanan Taman Negeri Pahang dengan pengurusannya oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Selain itu, zon penampan Taman Negeri selebar 1.5 kilometer akan diwujudkan.

"Menerusi pewartaan ini, kelulusan pembalakan di kawasan tersebut telah dibatalkan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy memaklumkan penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu menjadikan Pahang setakat ini, mempunyai Hutan Taman Negeri yang berstatus Hutan Simpanan Kekal seluas 55,249.08 hektar bagi melindungi flora dan fauna selain menjadi lokasi pelancongan ekorimba unik.

-- BERNAMA