Pakatan Harapan bersetuju mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya.

Dalam kenyataan yang ditandatangani semua pemimpin parti komponen, tindakan itu bagi menyihatkan amalan demokrasi terbaik.

“Kami bersetuju mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urustadbir negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

BACA: PH setuju Tun M dilantik PM, Wan Azizah timbalannya sekiranya menang PRU14

BACA: Anwar Ibrahim dibebaskan lebih awal - KP Penjara

Kenyataan itu dibaca Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah yang membaca kenyataan tersebut sebelum mengumumkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Perkara itu merupakan sebahagian daripada janji-janji Pakatan Harapan apabila mendapat mandat membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Cadangan itu pada awalnya diutarakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan menjadi Perdana Menteri ketujuh sekiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Katanya idea itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan wujud pengasingan kuasa antara badan perundangan, kehakiman dan eksekutif.