PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, setiap krisis global mempunyai kaitan langsung dengan sektor pengangkutan, sama ada melibatkan kos minyak, pertanian mahupun kelangsungan ekonomi negara.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan.
Advertisement
“Kalau soal laluan, Alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran menyebabkan kapal Petronas sudah melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang, Insya-Allah.
"Tetapi ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri juga bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, dasar dan kebijakan ekonomi yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu serta prestasi ekonomi Malaysia.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menyeru penjawat awam agar memainkan peranan lebih aktif dalam menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat, selain memberi pandangan membina dalam setiap perjumpaan dan mesyuarat jabatan.
“Rakan-rakan terutama penjawat awam harus turun menjelaskan. Bukan soal mempertahankan Perdana Menteri atau Menteri Pengangkutan, tetapi menyatakan hak.
"Kalau ada pandangan balas, mengatakan ada beberapa hal yang tidak disenangi atau harus diusulkan, saya telah sarankan sejak awal bahawa perjumpaan dan mesyuarat jabatan harus dimanfaatkan untuk memberikan pandangan,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat jabatan tidak seharusnya menjadi pengarahan satu hala oleh ketua jabatan atau ketua setiausaha, sebaliknya, perlu memberi ruang kepada pandangan daripada peringkat bawahan.
Perdana Menteri menekankan bahawa keterbukaan dalam mendengar pandangan penjawat awam akan membantu memperkukuh dasar kerajaan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian kepada rakyat.