KUALA LUMPUR: Sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berlaku, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tentu akan diangkat sebagai Perdana Menteri.

Pandangan itu disuarakan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, tidak mustahil PH bersama UMNO dan BN membentuk kerajaan bersama berdasarkan persefahaman atas satu matlamat dan objektif sama untuk dicapai.

Tambahnya, bagi menjayakan hasrat itu, setiap parti tidak seharusnya memberi fokus kepada kepentingan parti masing-masing malah perlu melebihi tujuan itu demi membolehkan penubuhan kerajaan baharu berkesan dan stabil.

"Kita mesti berpusat kepada kekuatan kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Anwar telah berulang kali membuktikan bahawa kita dapat mempertemukan semua parti.

"PH dan BN mampu membentuk kerajaan berdasarkan matlamat sama iaitu fokus untuk rakyat dan membantu keperluan mereka ketika ini (pandemik). Kita tidak fokus kepada kepentingan parti atau individu," katanya dalam Twitter beliau.

Semalam, akhbar Mingguan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi keyakinan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pemimpin parti itu akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk.

Menurut sumber, perkara itu dinyatakan Presiden UMNO dalam pertemuan bersama ahli MT sebagai menyokong usaha parti itu menarik balik sokongan daripada kerajaan PN.

Bagaimanapun, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan, isu Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri selepas UMNO mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.

Beliau menjelaskan, adalah mustahil Presiden UMNO itu mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana parti itu tidak cukup majoriti berbanding blok terbesar PH yang ada dalam Parlimen.

Justeru, beliau menegaskan, Anwar tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.