[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ismanira tidak dibenar tangguh hukuman penjara lima tahun
![[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ismanira tidak dibenar tangguh hukuman penjara lima tahun [TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ismanira tidak dibenar tangguh hukuman penjara lima tahun](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/51766455600_IsmaniraAbdulManaf.jpg)
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
“Setelah mendengar kedua-dua hujahan, mahkamah membuat keputusan untuk menolak permohonan penangguhan tersebut kerana tidak mempunyai apa-apa 'specialities' (keistimewaan),” katanya dalam prosiding hari ini.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman dan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira
Pada 31 Oktober lalu, Hakim Syahliza Warnoh menjatuhi Ismanira hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan.
Hakim berkata, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman tersebut.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak sulungnya, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


